Seringkali kita dengar pelbagai kiasan diberi kepada makhluk bernama wanita. Antara yang paling popular ialah wanita umpama bunga, bulan, matahari, rama-rama dan macam-macam lagi. Wanita mana yang tidak tersentuh bilamana dirinya dikaitkan dengan bunga dan rama-rama yang bersifat dengan sifat yang indah. Saat dipuji sebegitu pasti kaki-kaki wanita tersebut tidak lagi berpijak ketanah bahkan mungkin sudah keawan-awanan. Inilah sifat wanita yang memang dicipta sebagai makhluk yang indah dan suka pada benda yang indah.
Tapi benarkah wanita layak mendapat gelaran bunga? Atau adakah bunga yang tak layak digelar kepada wanita? Kalau jawapan ‘ya’ diberi pada persoalan pertama maka bermakna wanita lebih rendah tarafnya dari bunga dan sebaliknya kalau jawapan ‘ya’ diberi pada soalan kedua.
Yang menjadi kepelikan di hati zie, kenapa bunga? Adakah orang memandang wanita hanya pada cantiknya? Apakah tiada nilai lain yang layak di ambil kira? Seperti contohnya wanita umpama benteng sebuah Negara. Mereka yang akan memastikan kuat atau tidak sebuah Negara. Tapi sudah tentu kiasan ini tak menarik hati kerana ‘benteng’ tak seindah ‘bunga’.
Ada apa dengan ‘bunga’? Bagi zie kiasan bunga hanya diberi oleh orang yang tak ikhlas. Orang yang memandang kecantikan adalah segalanya. Wahai wanita, cuba anda fikir, apa sebenarnya sifat sekuntum bunga yang terlalu anda banggakan.
Emmm, bunga cantik tapi sementara. Saat dia mekar, dia pujaan sang kumbang tapi bila dia layu dan gugur ketanah, dia hilang harganya. Adakah begitu sifat wanita? Berguna hanya ketika masih muda dan cantik. Bukankah itu satu perhinaan buat wanita?
Emmm, bunga harum dan menggoda tapi sifatnya merosak diri sendiri. Bunga dicipta dengan warna yang cantik dan bau yang harum dan gunanya untuk memikat sang kumbang agar singgah padanya. Lalu sang kumbang akan menyedut madunya dan pergi bila madunya sudah tiada. Begitukah taraf seorang wanita? Bangga bila dapat menggoda mata-mata sial. Bangga bila jadi buruan dan tarikan. Lantas bunga-bunga yang lupa diri mula memberi segalanya pada sang kumbang. Malangnya habis madu sepah dibuang. Tanpa sedar keindahan dan daya penariknya hanya merosakkannya. Begitukah harga seorang wanita? Andai begitu hinanya seorang wanita.
Jadi, para wanita sekalian, jangan jadi seperti bunga. Sesungguhnya bunga terlalu rendah tarafnya untuk dikaitkan dengan kalian yang dicipta Allah cukup sempurna. Kecantikan mungkin satu bonus buat anda tapi jangan sampai bonus tersebut menjatuhkan nilai saham anda. Kita sebagai wanita bukan saja dicipta sebagai penyeri dunia, tapi lebih penting penyeri syurga. Jangan kerana taksub ingin menyeri dunia, kita hilang kelayakan untuk menyeri syurga. Nauzubillahi min zalik….
0 comments:
Post a Comment